Penjara ‘ubah’ Robinhood

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Abdul Aziz mendirikan solat sekalipun di sebalik kenderaan di tepi jalan.


Siapa yang tidak kenal Robinhood? Seperti yang sedang hangat ditayangkan di pawagam, dia seorang satria pembela kaum miskin. Dia sentiasa membela kaum lemah dengan kehebatan memanah sebagai senjata utamanya. 

Tidak jauh bezanya dengan Robin Padilla, aktor popular Filipina yang juga pernah membintangi filem yang serupa di negaranya. 

Nama sebenar beliau Robinhood Fernando Carino Padilla. Namun, lebih dikenali dengan panggilan Robin Padilla terutama di era 1990-an. 

Era di mana beliau sangat popular dengan membintangi filem-filem yang sering kali pecah panggung menjadikan Robin, aktor paling laris ketika itu. 

Anak kelahiran Kota Manila pada 23 November 1967 ini melonjakkan namanya setelah membintangi sejumlah filem aksi dan ganas. 

Bahkan kerana lakonan yang dimainkannya sebagai gangster berdarah dingin dalam beberapa filem, Robin mendapat jolokan budak jahat filem aksi Filipina. 

Bakat lakonan beliau memang sudah mendarah daging dalam keluarga besar Robin Padilla, yang merupakan penganut Kristian Protestan. Ketiga-tiga abangnya, iaitu Rustom Padilla, Royette Padilla dan Rommel Padilla, juga aktor hebat di Filipina. 

Namun kehebatan sebagai bintang mega jauh menghanyutkan Robin dalam kehidupan-kehidupan malam dan sering mengambil dadah terlarang. 

Natijahnya, Robin tidak sahaja hilang populariti malah turut ditahan pihak berkuasa atas kesalahan jenayah. 

Pada tahun 1994 beliau dihumban ke penjara atas kesalahan memiliki senjata api secara haram dan terpaksa merengkok selama 21 tahun sebagai hukuman atas kesalahan tersebut. 

Namun beliau bernasib baik kerana pada tahun 1998, dibebaskan dari penjara. Bukan kerana atas rayuan tetapi pihak penjara berpuas hati dengan kelakuan baik dan kesungguhannya untuk menebus kembali kesalahan sepanjang di penjara. 

Mungkin perubahan pada sikapnya itu tidak sahaja disebabkan pengajaran daripada hukuman penjara tetapi sedikit sebanyak hasil berkawan dengan seorang tahanan lain yang beragama Islam. 

Semasa dalam penjara itu Robin berkenalan dengan Gene Gallopin atau nama Islamnya, Jamil Ghaleb. Gallopin yang merupakan saudara baru adalah seorang aktivis bagi masyarakat Muslim di Filipina. 

Sepanjang di penjara, Robin dan Gallopin sering berbincang mengenai Islam dan kesemua itu meninggalkan kesan kepada Robin. 

Akhirnya dengan penuh yakin, Robin memeluk Islam. Malah ayah kepada lima orang anak ini memilih Abdul Aziz sebagai nama barunya. 

Tidak sekadar beliau, isterinya, Liezl Sicangco Padilla juga akhirnya menurut jejak langkah si suami (namun ada laporan yang menyebut bahawa mereka kini telah bercerai). 

Ini diikuti dua anak perempuan mereka, Queenie, 17, dan Kylie, 15, yang juga secara sukarela memeluk Islam. 

Tiga lagi anaknya ialah Ted Matthew (Tidtid), Zhelireen (Zhen-zhen) dan Robin Jr (Ali Padilla). 

Pengislaman beliau tentu sahaja menggemparkan. Namun apa yang ditanggung oleh Robin selepas itu tidak kurang hebat. 

Pelbagai tuduhan dilemparkan terutama mengaitkan Islamnya itu dengan kumpulan Abu Sayyaf yang sering dilabel sebagai pejuang-pejuang radikal Muslim di selatan Filipina. 

Malah tidak kurang yang menuduhnya memeluk Islam semata-mata kerana mahu berpoligami!  

Namun, semua itu tidak pernah diambil peduli oleh Abdul Aziz kecuali menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim sejati.

Seolah-olah mahu menebus kembali segala perlakuan-perlakuan jelik dari dunia hitamnya yang lalu. 

Abdul Aziz kini benar-benar menjadi seorang ‘Robinhood’ seperti mana yang dilakonkannya. 

Selepas memeluk Islam, dia mempunyai senarai panjang dalam membuat kebajikan seperti memberi sumbangan terutamanya wang ringgit. 

Sasaran utama sumbangannya itu adalah kepada komuniti Islam di Filipina. Sebanyak satu juta peso beliau sumbangkan untuk membangunkan satu kawasan kaum Muslim di Kota Norzagaray, di wilayah Bulacan. Sebanyak 2.5 juta peso lagi kepada Lembaga Kemanusiaan, iaitu Muay Association of the Philipines.Dalam bidang pendidikan, Abdul Aziz memberi sumbangan yang besar dengan menubuhkan Yayasan Dindang Kapayapaan (Light Of Peace) pada tahun 2007 iaitu sebuah lembaga pendidikan prasekolah bagi anak-anak Islam di kawasan Fairview Park, Quezon City.Anak-anak Islam itu datang dari selatan Filipina iaitu wilayah Basilan dan Jolo yang bergolak.Semasa pelancaran yayasan itu, Abdul Aziz berjanji mendapatkan tenaga pengajar terbaik bagi memastikan mereka dapat bimbingan sepenuhnya dalam aspek membaca al-Quran.Selama bersekolah di yayasan itu para pelajar ditempatkan di rumah besar miliknya yang terletak berhampiran sekolah dan semuanya percuma. “Kita mahu mereka membesar bersama kami” katanya seperti yang tersiar di laman web Buletin Manila.Ramai menyifatkan Abdul Aziz kini persis mengikut jejak Yusuf Islam atau Cat Steven setelah memeluk Islam.”Dia adalah hero bagi orang Islam,” tulis mereka.Oleh kerana darah seni masih mengalir deras dalam dirinya, Abdul Aziz tetap meneruskan aktiviti lakonan yang kini lebih tertumpu kepada genre drama dan komedi. 

Beliau masih menerima pelbagai tawaran berlakon kerana para peminat masih mahukan beliau terus beraksi. 

“Yang lepas biarlah berlalu, saya bukan lagi ‘budak’ itu. Saya kini adalah ‘lelaki’. ‘Lelaki jahat’ adalah panggilan yang tidak betul, ia cuma sebahagian daripada kisah silam saya,” katanya

Leave a comment