5 kali hamil luar nikah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Ketika jutaan wanita di seluruh dunia meraikan sambutan Hari Ibu bersama insan tersayang, seorang wanita yang sering diperalat lelaki baru dikenali hingga pernah melahirkan empat anak luar nikah, kini menaruh simpati terhadap sebuah rumah perlindungan ibu mengandung untuk melahirkan anak kelimanya.
Pengurus Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, 50, berkata wanita berusia 33 tahun itu menghubunginya baru-baru ini bagi mendapatkan bantuan kerana bakal melahirkan anak kelima tidak lama lagi.

Menurutnya, atas dasar perikemanusiaan pihaknya pernah menawarkan perlindungan kepada wanita itu sebelum ini, namun disebabkan dia tidak pernah insaf terhadap perbuatannya, permintaan wanita itu terpaksa ditolak.

Katanya, difahamkan anak yang bakal dilahirkan itu hasil hubungan sulit dengan teman lelaki baru dikenali lebih setahun lalu.

“Sebelum ini, kami pernah menawarkan perlindungan kepada wanita berkenaan kerana disisih keluarga dan menghadapi masalah berkahwin dengan teman lelaki sebelum ini kerana tiada kad pengenalan.

“Kami kasihan melihat wanita itu kerana dia terpaksa hidup serba kekurangan selepas teman lelakinya ditangkap polis akibat kes curi lori dan dihukum penjara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka wanita itu terus bergelumang dosa apabila hamil anak kelima dan bakal melahirkannya tidak lama lagi.

Menurutnya, perkembangan terbaru itu memaksa pihaknya menolak rayuan wanita berkenaan.

“Wanita itu memberitahu dia mempunyai masalah mendirikan rumah tangga dengan teman lelaki barunya itu kerana lelaki berkenaan sudah beristeri dan mempunyai anak.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ketika beberapa kali mendapatkan perlindungan di sini, dia mengakui kesilapannya dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu selain melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.

Menurutnya, wanita itu mendakwa teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkannya keliru sama ada mahu membesarkan bayi yang bakal dilahirkan itu atau sebaliknya.

“Dalam perbualan kami, wanita berkenaan menyatakan masalah membesarkan anak sulung berusia 10 tahun serta anak keempat berusia tiga tahun menyebabkan dia bercadang menyerahkannya kepada orang lain.

“Ia menunjukkan pengalaman empat kali melahirkan anak luar nikah tidak menginsafkan wanita itu. Kami sedih dan ingin membantunya, tetapi sukar membantu mereka yang enggan membantu diri sendiri,” katanya.

Bantuan RM1.1 juta ke Gaza

Ismail Hasim
SHAH ALAM, 9 Mei: Sebanyak RM1.1 juta sumbangan rakyat Malaysia kepada warga Palestin berjaya dikumpul oleh Konvoi Lifeline4Gaza (LL4G) yang bakal diserahkan kepada mangsa kekejaman Zionis Antarabangsa itu pertengahan Mei ini.Jumlah tersebut diumumkan di dalam Perhimpunan Perdana Palestin yang diadakan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi dengan kehadiran luar biasa memenuhi ruang dewan dengan acara memberangsangkan.

Majlis malam tadi bermula dengan solat hajat, ucapan-ucapan dari wakil-wakil NGO termasuk Timbalan Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani dan selingan nasyid persembahan dari Muadz, Raihan dan Shoutul Harokah dari seberang.

Turut berucap adalah Wakil Pimpinan Palestin di Gaza, Syeikh Ziyad Al-Qishawi yang juga Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin dan Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Mr Hussain Oruc.

Mereka berdua menyampaikan salam perjuangan dan terima kasih tidak terhingga dari rakyat Palestin kerana sanggup memberikan sumbangan dan doa di atas mala petaka yang dikenakan ke atas mereka selama ini.

Untuk rekod, krisis kemanusiaan selama ini di Palestin membangkit rasa kebersamaan kepada rakyat dan NGO prihatin negara ini yang menggerakkan konvoi Lifeline4Gaza – Break The Siege ataupun Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian.

Mereka disertai oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Amal, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Viva Palestina Malaysia (VPM).

Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG).

Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 20 buah kapal dan bot.

Kempen ini diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.

Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut:

Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN”

Nombor akaun: 5644 9020 8528

Bank : Maybank Berhad

Semenanjung gegar kerana gempa Sumatera

BOMBA tiba di bangunan Peladang, Alor Setar selepas menerima laporan gegaran.


PULAU PINANG – Gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 1.59 petang tadi, menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jurucakap jabatan itu berkata, antara negeri-negeri dan kawasan yang merasai gegaran selama dua minit itu ialah Pulau Pinang, Perlis, Lembah Klang, Kedah, dan Langkawi.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan di negara ini.

Jabatan itu juga melaporkan empat kawasan di Pulau Pinang merasai gegaran.

“Antara kawasan yang merasai gegaran ialah Seberang Jaya, Batu Feringgi, Sungai Dua dan Batu Kawan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.