Ibu kau tetap disanjung

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my

Berbeza agama, namun hubungan tetap erat antara Divesh dan ibunya, Madhuvathi.


DALAM laporan sebuah akhbar tempatan, seorang remaja perempuan yang juga pelajar tingkatan tiga dari Felda Jerangau, Hulu Terengganu kesal kerana melakukan zina sehingga lahir seorang anak luar nikah. Bayi lelaki itu dilahirkan dalam tandas sebuah klinik kerajaan baru-baru ini.

Namun dia berasa lega kerana ibunya masih dapat menerimanya walaupun si ibu terkilan dengan perbuatannya.

Tentulah si ibu masih dapat menerima anaknya sendiri walaupun betapa teruknya dia menanggung malu.

Bagi si anak, adakah bayi luar nikahnya itu merupakan hadiah yang layak buat si ibu sempena Sambutan Hari Ibu?

Islam tidak menetapkan mana-mana hari dalam kalendar tahunannya untuk umat agama itu menyambut Hari Ibu.

Tetapi berapa ramaikah daripada kita yang menghargai pengorbanan dan jasa ibu yang melahirkan?

Jangan hanya apabila selepas terjebak dalam kancah sosial seperti penagih dadah, rempit dan kaki pukul sehinggalah seks bebas sehingga perut besar membusung kerana hamil baru ingat hendak mencari ibu.

Ketika lupa daratan, mereka inilah golongan yang tidak pernah menghargai ibu dan jauh sekali meraikan ibu sempena Hari Ibu yang disambut pada hari Ahad minggu kedua setiap bulan Mei.

Namun tahukah anda ada juga anak-anak yang baik tetapi kadang-kadang terpaksa bertindak ‘menderhaka’ terhadap ibu masing-masing.

Jangan salah faham pula. Mereka terpaksa menderhaka terutama kepada ibu yang melahirkan semata-mata kerana hati telah terpikat dan mahu terikat dengan Islam.

Kerana Islam mereka terpaksa membelakang ibu kerana tiada ibu yang dapat menerima kenyataan apabila anak kesayangan dan menjadi harapan bertindak meninggalkan agama nenek moyang yang mereka pertahankan selama ini.

Tetapi derhaka si anak kerana Islam itu sebenarnya tidak memutuskan sama sekali hubungan.

Walaupun berbeza agama, pertalian mereka yang menganut Islam dengan ibu yang berlainan agama tetap kekal malah lebih baik berbanding sebelumnya.

Divesh Kumar Danial Kakulai dan isteri, Engku Rabaal Adawiah Engku Zahit misalnya adalah contoh anak yang tetap menghormati dan menyanjungi ibu walau mereka berbeza agama.

Walaupun ibu Divesh Kumar, Madhuvati a/p Varjivandas, 65, seorang penganut Hindu tetapi ia bukan penghalang untuk mereka tinggal bersama.

“Sehingga kini kami sekeluarga tinggal bersama. Walaupun berbeza agama tetapi tidak ada sesiapa yang dapat memisahkan antara saya dan ibu.

“Saya sangat menyayangi ibu kerana jika tidak ada ibu yang melahirkan dan membesarkan, saya mungkin tidak berkesempatan mengenali dan memeluk Islam,” katanya.

Tidak dinafikan, anak bongsu daripada lima adik beradik itu telah mengecewakan hati ibunya itu apabila beliau meninggalkan agama Hindu demi bergelar seorang Muslim pada tahun 1997.

“Sudahlah ibu mempunyai penyakit darah tinggi, seorang yang cepat marah dan agak cerewet orangnya, jadi saya terpaksa merahsiakan pengislaman saya kerana bimbang menjejaskan kesihatannya.

“Apabila ibu tahu saya memeluk Islam melalui jiran, ibu saya benar-benar kecewa, marah dan menuduh saya menipunya.

“Sudahlah abang saya Shah Kirit dan seorang lagi kakak sebelum ini telah memeluk Islam. Kini saya anak bongsu kesayangannya pula mengikut jejak langkah mereka, ibu mana yang tidak sedih dan hampa,” kata Divesh Kumar.

Dia menjelaskan, ibunya tidak dapat membezakan antara Islam dan Melayu.

“Baginya sama sahaja dan saya sendiri terpaksa menyembunyikan diri, tidak pulang ke rumah selama tiga hari kerana bimbang ibu marah kerana saya meninggalkan agama menjadi amalan kami selama ini,” katanya.

Katanya, selama tiga hari itu dia berfikir dan akhirnya berazam dan tekad untuk membuktikan Islam tidak seburuk yang disangka oleh ibunya.

Lebih-lebih lagi ajaran Islam tidak mengajar anak dan ibu mesti dipisahkan kerana berbeza agama.

Atas semangat itu, Divesh Kumar sedia menghadapi apa juga risiko dan memberanikan diri pulang ke rumah.

Sebaik sampai di rumah dia berterus terang dengan ibunya untuk terus tinggal bersama dan menjaganya sehingga ke akhir hayat.

“Soal beza agama bukan penghalang,” katanya.

Akhirnya seperti yang dilihat hari ini, Divesh Kumar dan ibunya bahagia hidup bersama di bawah satu bumbung walaupun berbeza agama.

“Saya mesti melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ibu saya.

“Saya secara ikhlas dan sukarela menghantar ibu beribadat di kuil, menunggunya dan kemudian pulang bersama-sama.

“Ini kerana ibu juga sangat bertolak ansur terhadap Islam. Malah ibu yang mengingatkan saya sembahyang tiap kali masuk waktu solat. Malah ibu menyediakan makanan kesukaan saya setiap kali saya dan isteri berbuka puasa di bulan Ramadan.

“Ibu yang menjaga cucunya, iaitu anak saya Puteri Dhiya Sumayyah, 2, sementara saya dan isteri keluar bekerja.

“Ibu juga akan menyediakan manisan dan buah tangan untuk dihadiahkan apabila kami pulang ke kampung isteri.

“Sesungguhnya ibu adalah manusia yang paling saya sayang, tiada duanya di dunia ini,” katanya.

Tentu sahaja menjadi harapan Eksekutif Pemasaran di Saba Islamic Media Sdn. Bhd. ini agar si ibu akhirnya memeluk Islam.

Namun selagi yang tidak bertentangan dengan Islam, Divesh Kumar akan terus berbakti kepada ibunya itu hayat dikandung badan.

Leave a comment