Risau anak kencing malam

RAMAI ibu bapa susah hati apabila mempunyai anak yang kerap kencing malam di tilam terutama jika anak berkenaan sudah bersekolah. Memang diakui, ibu bapa mana yang tidak geram jika perkara ini berlanjutan. Sudahlah perlu menukar cadar dan selimut setiap hari, anda sekeluarga berhadapan dengan menghilangkan bau hancing pada tilam.

Bagaimanapun, janganlah memarahi anak anda kerana ia hanya akan membuat anak berasa lebih tertekan, susah hati dan malu. Mereka sendiri berasa bersalah, gelisah, takut dan malu apabila mendapati mereka terkencing di tilam. Mereka akan berasa lebih gusar sekiranya ada ahli keluarga datang bermalam di rumah anda.

Sebenarnya kencing malam adalah masalah biasa dalam kalangan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia kerana dianggarkan satu daripada lima kanak-kanak (20 peratus) mengalami masalah kencing malam. Biasanya masalah ini hilang sendiri apabila anak semakin besar.

Jika anak anda termasuk dalam kumpulan ini, janganlah tertekan atau susah hati kerana ia boleh diatasi. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

Kawal diri anda. Terima masalah ini sebagai satu peluang untuk anda merapatkan hubungan antara ibu (atau bapa) dengan anak. Jadikan ia sebagai cabaran positif yang perlu diatasi bersama dan inilah masanya untuk anda menerapkan disiplin pada anak-anak.

Beri penjelasan dan pendidikan kepada anak. Beritahu anak anda bahawa ini adalah masalah yang turut dihadapi kanak-kanak lain supaya dia tidak berasa terlalu tertekan atau malu, khususnya apabila dalam keluarga hanya dia saja yang kencing malam. Terang�kan kepada anak bagaimana perkara ini boleh berlaku dan bagaimana ia boleh diatasi.

Rancang bersama anak pelan untuk mengatasi masalah ini supaya mereka dapat bekerjasama terutama dalam melakukan pengubahsuaian gaya hidup.

Tetapkan jadual tidur. Lebih baik jika anak anda masuk tidur pada waktu yang sama setiap malam. Ada ibu bapa mengejutkan anak di tengah malam untuk ke tandas. Perkara ini lebih mudah jika anak anda sudah tidur beberapa jam dan dia boleh menyambung tidurnya tanpa gangguan.

Suruh anak buang air kecil sebelum tidur setiap malam. Membuang air kecil sebelum tidur sepatutnya dijadikan amalan harian seperti memberus gigi dan membersihkan muka.

Elakkan memberi anak anda mengambil minuman yang ada kesan diuretik seperti minuman mengandungi kafein seperti kopi, minuman berkarbonat atau coklat pada waktu malam. Kafein boleh merangsang penghasilan air kencing dan ia akan menyebabkan anda anda kencing lebih kerap.

Ingatkan anak supaya tidak minum terlalu banyak pada waktu malam terutama sebelum masuk tidur. Bagaimanapun, janganlah sampai anak anda mengalami masalah kekurangan air pula. Satu perkara yang anda perlu tahu ialah masalah kencing malam tidak semestinya disebabkan minum banyak, tetapi kegagalan untuk bangun apabila pundi kencing perlu dikosongkan.

Buat rekod kencing malam. Pakar perubatan mendapati dengan memberi ruang kepada kanak-kanak ‘memiliki’ masalah mereka dan memikul sebahagian tanggung�jawab mengatasi�nya, sangat membantu dalam menangani isu kencing malam. Kita bukan bertujuan untuk memalukan mereka sebaliknya membuatkan anak anda berasa masalah ini boleh dikawal.

Antara caranya ialah dengan membuat catatan atau jurnal kencing malam. Ianya boleh dilakukan dengan mencatat�nya dalam buku nota kecil atau hanya dengan membuat tanda bintang pada kalendar pada malam yang ‘kering’. Anda boleh menjadikan catatan ini sebagai ‘rekod kejayaan’ supaya anak akan lebih bekerja sama apabila diminta ke tandas sebelum tidur.

Pujilah anak anda apabila dia berjaya bangun pagi dalam keadaan yang kering. Jangan ejek atau marah jika dia kencing malam, sebaliknya beri perangsang supaya perkara itu tidak berulang.

Anda boleh meletakkan pelapik khas pada tilam anak.

Sekiranya terapi perlakuan di atas masih tidak berjaya mengatasi masalah anak anda, dapatkanlah bantuan doktor. Ada ubat yang boleh membantu menangani masalah kencing malam.

Perkara yang perlu dielakkan

Malu dengan keadaan anak anda. Ia hanya akan membuatkan anak rasa bersalah dan lebih tertekan.

Menyalahkan anak setiap kali dia bangun tidur dalam keadaan yang basah. Kencing malam tiada kaitan dengan sifat malas atau degil kerana tiada siapa mahu buang air kecil di tilam.

Memalukan anak dengan menjadikan perkara ini bahan gurauan atau ejekan. Elakkan juga menceritakan masalahnya kepada ahli keluarga lain di depan anak. Memalukan anak dengan mengejeknya hanya akan membuatkan masalah ini lebih sukar diatasi.

Menyalahkan diri sendiri. Anda bukan penyebab masalah kencing malam yang dialami anak anda kerana biasanya ia adalah masalah yang diwarisi. Maknanya, ada ahli keluarga anda yang turut mengalami masalah ini.

Menghukum anak kerana kencing malam. Memang ada kalanya ibu bapa hilang sabar apabila terpaksa membasuh cadar dan selimut setiap hari, tetapi ketahuilah leteran anda tidak akan melenyapkan masalah ini.

Mencegah anak daripada menyertai aktiviti sekolah yang memerlukannya bermalam di luar atau tidur di rumah kawan. Beritahu guru atau ibu bapa rakan anak anda mengenai masalah ini dan langkah yang boleh diambil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s